Salam dan selamat sejahtera buat anda semua sahabat seangkatan dalam perniagaan Pasar Malam, nampaknya hujan masih lagi berterusan dari minggu lepas hinggalah ke hari ini. Menurut ramalan kaji cuaca Malaysia hujan akan berterusan sehingga hari Rabu ini di sekitar Seberang Perai dan Pulau Pinang. Maka sila lah anda ambil maklum perkara ini.
Semasa hujan sedang rancak di pasar malam Mengkuang Titi tadi , kami segelintir peniaga pun mula rancak berbual dari pelbagi topik yang merapu sehingga ke yang berilmiah dan salah satu topik yang mencuri perhatian saya adalah berkenanaan pinjaman tanpa faedah yang disuntik oleh kerajaan Malaysia tahun hadapan bermula Januari 2013. Borak punya borak masing-masing dah pasang niat nak buat pinjaman sedangkan pinjaman yang sedia ada dengan Tekun dan Amanah Ikthiar masih belum di langsaikan lagi. Maka terfikir di fikiran saya dan nampak amat ketara kepada sesetengah peminjam yang memang boleh dikatakan sinonim dengan diri mereka sendiri,yang peminjam akan tetap individu yang sama sebab beliau memang dah selesa hidup dengan berhutang, pinjam sini kambus sana, pinjam sana kambus sini.
Kalau di perhati dari segi ekonomi tidak nampak langsung kemajuan bagi golongan begini yang dari dulu sehingga kini tetap pergi berniaga sendiri tanpa mengupah seorang pekerja pun...dan saya terpanggil untuk menyiarkan sebuah artikel dari Utusan Malaysia tentang pandangan bekas Perdana Menteri Malaysia, tentang kegagalan peniaga sebangsa dengan saya tak kira lah apa saja jenis perniagaan yang di jalankan besar atau kecil...selagi sifat begini wujud maka tidak akan kemana lah diri kita...
Semoga anda akan memperolehi Ikhtibar dari pembacaan ini......
PUTRAJAYA 28 Nov. - Kelemahan dalam pengurusan tunai merupakan penghalang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan lebih besar dalam bidang perniagaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, usahawan bumiputera harus lebih mahir dalam pengurusan kewangan termasuk menggunakan sumber yang ada secara bijak untuk memajukan perniagaan masing-masing.
''Jika usahawan bumiputera mendapat pinjaman RM1 juta untuk tujuan perniagaan, mereka akan belanja separuh daripadanya untuk membeli kereta mewah atau barangan lain.
''Pinjaman tersebut bukan sahaja tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam perniagaan tetapi mereka juga perlu membayar faedah atas dana yang diperoleh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bicara tengah hari sempena Perhimpunan Usahawan Bumiputera Industri Perkayuan di Pusat Maritim Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abd. Rahim.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, usahawan bumiputera juga didapati gagal menguasai beberapa perniagaan francais di negara ini kerana tidak menguruskan aliran tunai dengan berkesan.
''Peniaga Melayu berkenaan gagal kerana selepas mereka mendapat keuntungan, hasil itu tidak dilabur untuk beli stok atau memajukan perniagaan tetapi digunakan untuk tujuan lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan usahawan bumiputera melakukan usahasama dengan syarikat lain bagi menimba pengalaman dan ilmu yang diperlukan untuk memajukan diri.
''Selain perlu bekerja dengan rajin, usahawan bumiputera juga harus bekerja secara bijak dan untuk tujuan itu, kita perlu menimba ilmu melalui pelbagai kaedah termasuk membaca buku.
''Seterusnya kita mesti mengenal pasti apa yang kita mahu. Kita boleh mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan selepas itu baru fikirkan cara untuk memajukannya," katanya.
Dr. Mahathir turut menggesa usahawan bumiputera supaya meneroka peluang dalam bidang yang berlainan bagi memastikan kejayaan dalam perniagaan.
''Jangan nampak orang lain berjaya dengan jual nasi lemak, semua orang pun pergi jual makanan yang sama dan akhirnya gagal," katanya - Utusan Melayu
EBOOK PANDUAN BAGAIMANA MENJANA PENDAPATAN LUMAYAN DI PASAR MALAM , DAPATKAN DISINI
No comments :
Post a Comment