nuffnang1

.:)

Nov 19, 2012

Mikro Kredit/ Tekun - Pinjaman Tanpa Faedah Bank Rakyat





PUTRAJAYA 18 Nov. - Seramai 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menerima khabar gembira hari ini apabila kerajaan mengumumkan penyediaan skim pinjaman khas dan geran untuk membantu golongan tersebut.
Paling menggembirakan adalah penyediaan skim pembiayaan mikro berjumlah RM50 juta itu dijangka menawarkan pinjaman tanpa faedah.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap penjaja dan peniaga kecil dapat memohon pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 untuk menambah modal pusingan atau membeli peralatan yang lebih baik.


Beliau berkata, permohonan untuk skim tersebut dijangka dibuka menjelang awal tahun depan manakala peminjam akan diberi tempoh bayaran balik sehingga sembilan tahun.


''Secara prinsipnya, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah bersetuju bahawa pinjaman yang diuruskan Bank Rakyat ini akan diberi tanpa sebarang faedah.


''Ini bermakna yuran pentadbiran sebanyak 2.5 peratus oleh Bank Rakyat yang sepatutnya dibayar peminjam akan ditanggung oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.


Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Saripuddin Kassim dan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani.


Skim pembiayaan mikro yang diumumkan hari ini merupakan tambahan kepada beberapa bentuk pinjaman sedia ada termasuk daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang turut memberi pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil.


Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan telah menyediakan RM7 juta di bawah Program Penjaja 1Malaysia untuk digunakan dalam menaik taraf, membaiki dan membersihkan gerai penjaja.
Tambahnya, geran sebanyak RM4 juta pula akan disalurkan kepada persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil bagi menganjurkan pelbagai aktiviti.


''Selain itu, pihak persatuan juga boleh memohon sekiranya mereka memerlukan bantuan untuk mengadakan majlis atau program tertentu," katanya.


Mengenai perlindungan insurans pula, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah menyediakan perlindungan insurans kepada 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil berdaftar di seluruh negara.
''Penjaja dan peniaga kecil juga boleh menambah premium untuk skim insurans ini sekiranya mereka mahu mendapatkan perlindungan yang lebih baik," katanya.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan menghadiri konvensyen penjaja dan peniaga kecil di peringkat negeri untuk mendapat maklum balas dan cadangan berhubung pelbagai isu. - Utusan

EBOOK PANDUAN PERNIAGAAN PASAR MALAM YANG MUDAH DI FAHAMI, KLIK SINI

No comments :