May 13, 2016

Pentingnya Tanda Harga Dalam Perniagaan Pasar Malam

Jangan Lupa Anda Di Perhatikan


Sedarkah anda yang orang ramai sentiasa memerhatikan setiap tingkah laku anda semasa berniaga di pasar malam. Gerak geri, perilaku, percakapan tutur bicara dan barangan semuanya diperhatikan oleh pelanggan-pelanggan.

Saya pernah terbaca sebuah akhbar utusan Malaysia tahun 2014 tentang penipuan harga dalam jual beli di pasar malam yang membawa kepada serbuan pihak berkuasa. Segalanya berpunca dari tanda harga barang jualan yang tidak sejajar dengan harga yang dikeluarkan oleh kerajaan dan juga penipuan harga.


Apa yang saya faham berkenaan artikel itu adalah penipuan harga semasa serbuan dilakukan sebagai contoh mulanya RM10 tetapi selepas penguatkuasa pulang peniaga terus meletak harga baru RM15. Saya tidak mahu membela mana-mana pihak dan hanya sekadar berkongsi apa yang telah saya baca selain ingin membuat peringatan buat sahabat yang berniaga di pasar malam.

Operasi penguatkuasaan tanda harga sekarang ini giat dijalankan apatah lagi harga cili padi tiba-tiba sahaja melonjak sehingga RM15 sekilogram untuk harga orang berniaga apatah lagi kalau bukan peniaga yang membeli dalam kuantiti yang sedikit pastinya akan lebih mahal lagi. Saya sendiri pun malam tadi terpaksa ke hulu dan ke hilir mencari cili padi ini.

Bagaimana dengan anda, adakah setiap barang jualan anda mempunyai tanda harga. Saya ambil contoh perniagaan saya dalam bihunsup yang mempunyai pelbagai jenis dan beraneka bihunsup. Anda boleh lihat pada gambar dibawah, bagaimana saya meletakkan harga pada papan besar dan tanda harga kecil bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan. Maka dengan ini mudah pelanggan berurus niaga tanpa perlu bertanya pelbagai soalan juga memudahkan peniaga sendiri.

Operasi yang dijalankan penguatkuasa adalah bersepadu dengan ertikata gandingan pelbagai agensi penguatkuasa. Iaitu Bahagian Perdagangan dan Penguatkuasaan, Majlis Bandaran dan polis. Mungkin anda belum pernah merasai bagaimana diserbu penguatkuasa dengan pelbagai soalan ditanya. Perkara paling penting di tanya adalah lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan di pasar malam kawasan Seberang Perai sudah pastinya Lesen dari MPSP dan jangan pula anda mengeluarkan daftar perniagaan yakni SSM, kerana SSM ini diperlukan jika anda ingin membuat sesuatu pinjaman atau memohon permit perniagaan yang besar selain pasar malam.

Lebih kurang 20 hari lagi seluruh umat Islam akan menyambut Ramadan maka pastinya ramai peniaga pasar malam yang berkonsepkan makanan akan berlumba-lumba mencari tapak bazaar ramadan di segenap pelusuk penempatan masing-masing. Ketika inilah pentingnya lesen perniagaan, buku suntikan pelalian dan sijil kursus pengendali makanan (food Handerler). Dan paling penting anda perlu ingat adalah tanda harga barang jualan anda kerana dari pengalaman saya setial kali ramadan belum gagal Majlis Perbandaran turun padang membuat pemeriksaan kerana pihak majlis mempunyai jadual dan program mereka sendiri menjelang ramadan dan salah satu program mereka adalah pemeriksaan gerai-gerai di bazaar ramadan.

Elakkan anda di saman, bertindak dari sekarang. Jangan menyesal di kemudian hari. Sesal tiada guna kalau surat saman sudah dikeluarkan. Pengalaman di saman amat menyeksakan justeru itu kalau boleh elakkan ia terjadi pada anda. Tidak susah sebenarnya kalau kita sebagai peniaga mengikuti setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), bila kerja mereka kita mudahkan maka mereka pastinya gembira jadi segalanya tiada masalah antara peniaga dan pihak berkuasa.





Anda boleh lihat sendiri bagaimana papan tanda harga yang kami lekatkan pada frame bagi memudahkan pelanggan memilih harga yang bersesuaian dengan kehendak mereka tanpa perlu lagi bertanya kepada peniaga. Mudahkan begini.

Harga sebatang Sup Gearbox RM10 ke RM18 atau sebungkus RM6 sahaja mengikut pilihan pelanggan seperti tertera pada papan harga.

No comments :

Post a Comment