May 11, 2016

Beza Pekan Hari, Pasar Malam, Pasar Tani Dan Pasar Karat

Pelbagai Perniagaan Yang Bezanya Tidak Berapa ketara Antara Pasar Malam Dan Pasar Pagi..


Mungkin ada antara anda yang kurang mengambil tahu apa perbezaan Pasar Malam dan Pasar Pagi yang terdapat di seluruh Malaysia. Kebanyakkan kita hanya pergi ke pasar-pasar ini untuk mendapatkan keperluan harian bagi kegunaan dirumah.


Tapi tahukah anda terdapat banyak perbezaan antara pasar malam dan pasar pagi yang tidak diketahui umum dan barang jualan juga banyak berbeza antara pasar tersebut. Di tambah pula ada juga yang disebut pasar karat, pekan hari, pekan minggu, nat dan pasar tani.

Kalau mengikut perbezaanya pasar pagi kebanyakannya hanya menjual keperluan dapur seperti ikan, sayur, buah-buahan dan sarapan pagi serta minuman seperti air soya dan sebagainya. Berbeza dengan pasar malam yang menjual pelbagai keperluan sehingga ke barangan elektrik.

Jika di Pulau Pinang dan Seberang Perai, pasar malam boleh dikatakan terdapat di semua bahagian pelusuk kampung dan bandar akan tetapi pasar pagi hanya terdapat pada sebahagian daerah sahaja. Sebagai contoh pekan hari Penaga yang berlokasi di Kepala Batas.

Perniagaan di sini lebih menumpukan peralatan dan keperluan harian dari makanan, barang basah dan pakaian. Biasanya pekan hari atau pasar hari keluasannya adalah lebih besar dari pasar malam dan atau lebih panjang serta mempunyai ramai peniaga dan paling ramai adalah peniaga yang menjual pakaian dan kurang yang menjual makanan.


Pasar malam pula lebih tertumpu pada menjual makanan, pakaian dan barangan elektrik tambahan pula sekarang ini alatan gajet amat mendapat sambutan ramai maka tidak hairanlah peniaga alatan eksesori telefon tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Di pasar malam harga gajet-gajet ini amat murah kalau dibandingkan dengan hypermarket. Sebagai contoh sekarang ini menjadi kegilaan ramai menggunakan skrin kaca pada telefon bimbit, harga di pasar malam semurah RM10 sahaja berbeza dengan Hypermarket atau Supermarket yang mencecah sehingga RM50 sebuah. Kualiti tidak perlu saya perjelaskan kerana anda sendiri yang pernah menggunakannya maka anda boleh memberi jawapannya.

Pasar pagi juga ada yang dinamakan Pasar Karat, yang barang jualan juga berbeza dari pasar malam dan pasar pagi. Pasar Karat yang terkenal di Pulau Pinang terletak di Belakang Stadium Bandaraya Pulau Pinang atau lebih terkenal dengan panggilan "ROPE WALK" atau "LORONG KULIT", ramai juga yang mempertikai sebutan nama tersebut kerana lokasi sebenar "ROPE WALK" atau "LORONG KULIT" ini terletak di belakang Masjid Kapitan Keling. Akan tetapi sudah menjadi kebiasaan sebutan itu maka sesiapa sahaja akan tahu bila disebut "ROPE WALK" maka di belakang Stadium tempatnya.

Barangan yang di jual lebih kepada barangan elektrik dan barang lusuh atau "reject product", yang menjadi kegilaan pengumpul bahan antik walaupun ianya sudah jauh berbeza dari 20 tahun yang lalu memangnya terlalu antik. Kalau anda berminat mendapatkan barangan zaman nenek moyang anda maka di sini tempat paling sesuai anda kunjungi. Buah-buahan yang beraneka jenis menjadi tumpuan oleh ibubapa yang bakal menjadikannya barang hantaran samada persiapan pertunangan atau perkahwinan kerana saiz buahan-buahan disini agak besar dan sesuai dijadikan buah tangan untuk meraikan sesuatu majlis disamping harganya yang cukup murah.

Di suatu sudut pula terdapat pasar tani yang lebih tertumpu kepada jualan produk makanan dan pengeluaran dari tanaman, ternakan dan tangkapan. Pasar tani kebanyakkannya dianjurkan oleh FAMA yang objektifnya meningkatkan ekonomi petani dan ekonomi bumiputera. Barangan yang dijual seperti ikan, sayur-sayuran, hasil ternakan dan produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang tertumpu kepada barangan seperti biskut, kueh sejuk beku, kek dan pelbagai lagi produk yang saya percaya anda sendiri pernah berkunjung ke pasar tani. Keuntungan berniaga di pasar tani adalah anda akan menerima payung besar atau kanopi berukuran 10 x 10 secara percuma ataupun dijual pada harga yang murah.




No comments :

Post a Comment