Jun 13, 2016

Ramadan Mulia Tapi Sifat Manusia Tetap Tidak Berubah

Sifat Hasad Dan Dengki Tetap Terpalit Dalam Sanubari Manusia


Ramadan kini sudah pun menjejaki hari yang kelapan dan setiap insan yang beragama Islam dengan penuh takwa menunaikan ibadah puasa dengan penuh keihlasan sesungguhnya demi melaksanakan rukun Islam yang ketiga.

Namun dalam pada itu masih wujud di kalangan manusia yang beragama Islam dalam bulan yang mulia bersifat hasad terhadap sesama Islam dalam persaingan perniagaan yang kurang sihat.

Memang benar kalau dikatakan rezeki masing-masing akan tetapi rezeki perlulah di cari dengan jalan yang lurus dan diredai oleh Allah berlandaskan syariat Islam. Tiada jalan pintas dan tiada cara cepat untuk mencari wang dengan menganiaya sesama manusia.

Kisah yang ingin saya paparkan adalah sikap segelintir peniaga di bazaar ramadan Bandar Perda yang tidak peka terhadap peniaga lain yang bersikap cukup ego dan pentingkan diri sendiri malah sanggup menganiaya peniaga lain semata-mata mereka berpengaruh dengan melobi perniagaan mereka berlandaskan konsep perniagaan orang lain.

Mereka-mereka ini yang sudah pun mempunyai kedai-kedai makan tetap dan di mulut sentiasa mengucapkan perkataan "Aku tahun ni malas nak nega di bazaar ramadan". Akan tetapi tetap mengambil tapak demi melampiaskan nafsu mereka demi melihat kejatuhan orang lain. Walaupun ramai di kalangan rakan peniaga memang sudah mengetahui sikap manusia yang sebegini.

Walaupun semasa pengundian tapak telah dimaklumkan oleh ustaz andainya sesiapa yang bertembung dengan jenis perniagaan yang sama perlu memaklumkan kepada ustaz untuk menjarakkan tapak perniagaan mereka agar perniagaan yang bakal dilangsungkan dalam keadaan harmonis. Namun akibat sifat ego dan ingin berlawan manusia jenis ini enggan memaklumkan kepada ustaz tetapi secara terang-terangan menyatakan kepada ustaz yang memang dia ingin berlawan dengan peniaga tersebut.

Di bazaar ramadan bandar Perda pengurusan hal-hal berkaitan bazaar ramadan diuruskan oleh AJK Masjid Daerah Seberang Perai Tengah yang terdiri dari kalangan pegawai agama masjid dan berstatus ustaz.

Segala pengurusan yang dilaksanakan oleh ustaz-ustaz yang dipertanggungjawabkan amat memuaskan dan mereka amat perihatin terhadap setiap masalah peniaga. Namun peniaga sendiri yang sering mendatangkan masalah. Peniaga-peniaga begini berlagak seolah-olah mereka cukup berkuasa dalam menentukan segalanya akan tetapi sebenarnya mereka tersilap kerana dasar mereka tidak selaras dan sehaluan dengan ketetapan oleh syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam borang semasa pendaftaran bazaar ramadan.

Mereka bertindak mengengkari arahan pegawai agama ini yakni ustaz yang bertugas dan disebabkan ego yang tinggi sehingga mereka sanggup melepaskan kata-kata yang menyakitkan hati semata-mata demi memuaskan sifat dendam kesumat dalam diri mereka. Walaupun kebaikan ustaz membatasi segalanya namun mereka harus sedar, ustaz yang bertugas juga adalah insan dan manusia biasa yang hanya menjalankan tugas dan kesabaran ada hadnya.

Mungkin mereka terlepas sekarang ini namun di tahun-tahun akan datang nasib mereka untuk berniaga di bazaar ramadan Masjid Daerah Bandar Perda belum tentu lagi. Jadi mereka yang ego ini seharusnya menerima hakikat andainya di tahun akan datang mereka tidak lagi layak berniaga di sini akibat dek perbuatan mereka sendiri.

Pihak pengurusan sudah melakukan perkara yang terbaik demi menjaga keamanan dan keharmonian semasa peniaga namun atas sifat tinggi diri manusia sebegini tetap menyatakan merekalah betul dan orang lain yang salah. Kesalahan sentiasa diletakkan kepada orang lain dan apa saja orang lain tetap salah.

Saya selaku peniaga yang sudah berniaga di sini semenjak terdirinya Bandar Perda dan sebelum dianjurkan oleh pengurusan masjid lagi tetap redha dengan ketentuan Allah dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai peniaga kecil yang hanya berniaga di pasar malam kalau nak dibandingkan dengan mereka-mereka yang gah dengan kedai-kedai besar dan pastinya sebagai peniaga pasar malam saya tidak mampu menandingi mereka-mereka ini, namun saya tetap menjalankan perniagaan dengan jujur tanpa ada sifat ingin berlawan kerana saya sedar diri siapalah saya ini. Sekadar peniaga picisan yang tak di pandang oleh golongan gergasi ini.

Hanya sebulan sahaja pun bak kata isteri saya yang amat memahami kehidupan perniagaan kami. Walaupun isteri saya seorang guru namun kemurnian sifat yang ada dalam diri beliau telah mengajarkan saya erti kesabaran dan redha dengan ketentuan ilahi serta wajib percaya rezeki ditentukan oleh Allah dan tak perlu kita berdendam dan tak perlu melawan takdir. Apa yang mampu saya lakukan adalah teruskan usaha ini demi sesuap nasi untuk menyara keluarga dan membayar gaji pekerja-pekerja yang cukup setia dengan saya di kala susah dan senang.

Di kesempatan ini ingin saya lahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan masjid bandar Perda terutama sekali buat ustaz-ustaz yang banyak membantu dan menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul. Pastinya jasa baik ustaz-ustaz hanya Allah yang mampu membalasnya.
Saya tetap akan terus berusaha dan berusaha tanpa jemu kerana inilah satu-satunya sumber pendapatan saya menyara keluarga walaupun teraniaya....
Subhanallahh......Alhamdulillah..Allahuakbhar... Amin Amin Yarabbalallamin.






No comments :

Post a Comment