Nov 27, 2013

Merudumnya Pasar Malam Alma ( Rabu )

8 tahun yang lalu menjadi kebanggaan kepada peniaga Pasar Malam yang berniaga pada hari Rabu di Alma yang mana pada ketika itu perniagaan cukup meriah. Masing-masing mampu meraih pendapatan yang cukup hebat setiap malam pada hari rabu.

                    SEMASA BERADA DITINGKAT ATAS  PASAR MALAM 2 TINGKAT ALMA

Pada ketika itu lokasi terletak bersebelahan jalan besar berhadapan dengan Petronas. Pastinya setiap orang yang melalui jalan tersebut akan berhenti dan singgah sebentar untuk membeli belah walaupun dalam keadaan hujan lebat sekali pun. Laluan utama jalanraya menjadikan pasar malam ini terkenal dengan dikunjungi oleh ribuan orang dan peniaga di anggarkan sekitar 300 orang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan dengan cukup jujur dan ikhlas.


Mimpi ngeri mulai menghantui apabila lokasi tapak tersebut telah mulai diintai oleh pemaju untuk mendirikan pelbagai kedai termasuk kedai tayar , bank dan  kedai makanan. Kami diarahkan berpindah pada tahun 2008 ke kawasan berhampiran yang ketika itu kami gelarkan pasar malam 2 tingkat dengan penganjur yang baru. Setelah bermesyuarat dengan pihak MPSP maka kami pun berpindah.

Perniagaan agak rancak walaupun tidak sehebat lokasi yang lama kerana sedikit terlindung dengan jalan besar namun peniaga masih mampu meneruskan perniagaan seperti biasa walaupun keuntungan agak berkurangan.

Sekali lagi mimpi ngeri yang telah menjadi realiti menghantui kami apabila sekali lagi kami diarahkan berpindah disebabkan parking 2 tingkat dikhabarkan akan menjadi gelanggang futsal. Kami dengan rela dan berat hati pun berpindah ke bawah bangunan tersebut.

Maka disini lah segalanya menjadi kenyataan apabila mimpi menjadi realiti.. perniagaan setiap hari rabu mulai merudum dan terus jatuh menyebabkan ramai peniaga asal mula melarikan diri mencari lokasi pasar malam lain. Dari ratusan peniaga hanya tinggal tidak sampai 100 peniaga menjalankan aktiviti ini. Yang cukup ketara adalah peniaga makanan yang hanya tinggal dalam lingkungan 15 orang sahaja.

Memang bagi saya sendiri bila sebut sahaja akan tibanya hari rabu , cukup lemah semangat untuk pergi berniaga disini namun disebabkan tiada tapak lain maka saya gagahi jugak walaupun pun saya sedar akan implikasi yang bakal saya tempuhi nanti. Boleh dikatakan setiap hari rabu saya mengalami kerugian dan keuntungan jika dapat pun terlalu sedikit. Disebabkan saya mempunyai pekerja maka terpaksa juga berniaga demi menjaga kebajikan mereka kerana mereka hanya bekerja dengan saya untuk menyara kehidupan mereka.

Bagi peniaga yang hanya mempunyai 1 pekerja atau tidak menggunakan pekerja dan hanya berniaga sendiri suami isteri mungkin tidak mendatangkan masalah sebab tidak perlu memikirkan soal gaji. Mereka hanya perlu menjual barangan dan mampu meraih sedikit keuntungan sudah memadai.

Pihak penganjur sendiri tidak mampu melakukan sesuatu bagi menghidupkan kembali kemeriahan pasar malam rabu ini. Kami peniaga sudah pun berbincang dengan penganjur namun penganjur tidak mampu melakukan sesuatu atau memikirkan sesuatu untuk meningkatkan kembali kehadiran pengunjung seperti zaman Pak Ya menganjurkan pasar malam ini.


Tiada langsung " Banner" yang diletakan diluar atau tepi jalan besar untuk memaklumkan kepada orang ramai yang terdapat pasar malam sedang beroperasi pada hari rabu. Kekecewaan kami memang terlalu mendalam namun terpaksa kami bersabar. Saya hanya menanti tibanya tahun 2014 dan akan melihatnya sehingga bulan Mac 2014. Jika sehingga Mac masih tiada tanda-tanda positif saya akan menyarankan kepada penganjur menutup sahaja pasar malam hari rabu ini.

DAPATKAN EBOOK PASAR MALAM UNTUK PERNIAGAAN ANDA MELEDAK

No comments :

Post a Comment